Friday, January 22, 2010

Pencemaran sungai

PENCEMARAN SUNGAI
Kesempurnaan itu sesuatu yang sangat indah pada pandangan mata kasar. Kita sering mengharapkan agar semua pekara menjadi sempurna dan sedap mata memandang, tenang jiwa yang merasai, dan mendamaikan serta boleh menyejukkan jiwa dan hati yang sedang bergelora seumpama seakan senaskah Al-Quran yang sedang ditadarus atapun taranum oleh Qari yang masyur. Baitnya pasti bisa merentap sanubari orang yang mendengar dan pengalunnya tentu merasa tenang disisi kalamullah itu. Begitu jugalah dengan sungai yang merupakan nadi buat masyarakat lampau dalam menjalankan kegiatan seharian seperti memasak, sumber minuman, kegiatan pertanian, membasuh dan mencuci. Pendek kata masyarakat dahulu amat menghargai sungai bagi pelbagai tujuan kehidupan. Tetapi pada waktu sekarang fungsi sungai tidak lagi dihargai oleh masyarakat modensasi. Pencemaran yang berlaku sekarang telah menjejaskan ekosistem dan habitat yang menghuni dimuka bumi. Pencemaran sungai yang berlaku di negara ini adalah disebabkan oleh sikap manusia yang tidak tahu menghargai kurniaan ilahi terhadap mereka.

Dengan perkembangan pembangunan yang pesat di negara ini telah mengundang perubahan kepada alam sekeliling. Pencemaran ini telah menyebabkan sebahagian daripada kecantikan yang pada sungai hilang dan tidak kelihatan lagi. Kita tidak dapat lagi menyaksikan kejernihan dan ketenangan air yang mengalir tetapi akan berhadapan dengan sungai yang sudah berubah wajah. Sungai kini berbau busuk dan hanyir dipenuhi sampah sarap. Tiada lagi anak-anak ikan yang berkejaran dan melompat di muara menyambar umpan. Semua itu hanya sebuah imagnasi yang lampau di minda pada masa dahulu. Pencemaran sungai yang berlaku hari ini ialah disebabkan oleh sikap manusia yang suka membuang ke dalam sungai.

Fungsi sungai yang pelbagai dalam kehidupan manusia telah menjadikan sungai sebagai aset yang sangat penting. Fungsi sungai yang paling utama kepada manusia adalah sebagai sumber bekalan air sama ada untuk kegunaan domestik atau komersil. Kegunaan domestik utama sungai adalah sebagai bekalan air bersih untuk minuman, membasuh pakaian dan mandian. Fungsi komersil sungai adalah seperti kegunaan dalam industri, pertanian dan akuakultur.

Sungai juga digunakan untuk tujuan rekreasi seperti berenang, bersampan dan berkayak dan memancing. Persekitaran sungai pula digunakan untuk rekreasi pasif seperti berehat dan mendapatkan ketenangan serta menghayati persekitaran sungai. Sungai juga digunakan sebagai medium pengangkutan, mendapatkan sumber protein seperti ikan serta kegiatan komersial menangkap ikan dan menjual pasir sungai.

Pencemaran sungai merupakan satu isu yang amat mendesak dan memerlukan usaha holistik daripada pelbagai pihak ke arah penyelesaiannya. Kualiti air sungai-sungai di Malaysia semakin terancam dengan pencemaran. Punca pencemaran sungai atau secara khususnya air terbahagi kepada dua iaitu punca dikenalpasti dan punca kurang pasti. Punca dikenalpasti merujuk kepada sumber yang boleh ditentukan puncanya dan dikenalpasti lokasinya iaitu dengan mengesan dari mana bahan pencemar berpunca misalnya sisa dari kilang dan sisa haiwan dari kandang ternakan. Punca kurang pasti merupakan punca pencemaran yang tidak jelas dan tidak boleh ditentukan puncanya secara tepat seperti pencemaran dari kawasan bandar, kawasan pertanian dan kawasan pembalakan. Di Malaysia, terdapat dua punca utama bahan pencemar sungai, iaitu, aktiviti pembangunan tanah serta sumber asli dan pembuangan sisa-sisa ke dalam air.
Aktiviti pembangunan tanah dan sumber asli melibatkan pembukaan kawasan penempatan dan pertanian baru, pembalakan, pembinaan infrastruktur fizikal seperti jalan raya, pembangunan bandar dan pembinaan projek-projek fizikal seperti perumahan dan perindustrian. Semua aktiviti ini menimbulkan masalah hakisan tanah yang mencemar air sungai dari segi kandungan bahan terampai, warna, kekeruhan, bahan organik dan masalah pemendapan sungai.

Aktiviti pertanian juga merupakan antara punca utama pencemaran sungai terutama jika dijalankan di kawasan tanah tinggi. Air hujan yang mengalir dari kawasan pertanian mengakibatkan hakisan dan meningkatkan kandungan zarah terampai dalam air sungai. Selain itu bahan kimia yang terdapat dalam racun rumpai, racun serangga, racun herba serta baja kimia turut mencemar air sungai.

Aktiviti perlombongan juga merupakan punca pencemaran air sungai kerana air dari kawasan perlombongan mengandungi kandungan zarah terampai dan bahan logam yang ada kaitan dengan mineral yang dilombong yang membahayakan kesihatan pengguna. Buangan sisa kotoran daripada kawasan perindustrian, perbandaran, perumahan, perniagaan dan kilang turut mencemarkan air sungai. Masalah pencemaran sungai telah mendatangkan kesan yang besar terhadap kehidupan manusia, terutamanya apabila sumber air yang dibekalkan kepada pengguna sukar dirawat. Pencemaran sungai juga menimbulkan masalah lain kepada manusia seperti merebaknya penyakit, musnahnya ekosistem akuatik dan terganggunya keselesaan umum. Sebagai contoh, oleh kerana kebanyakan sungai di Lembah Klang dikategorikan sebagai tercemar teruk dan cetek akibat dilimpahi oleh sampah sarap dan kelodak, maka kejadian banjir kilat kerapkali melanda terutamanya di sekitar Kuala Lumpur.

Isu pengurusan sungai menjadi sangat penting sejak kebelakangan ini akibat meruncingnya masalah pencemaran sungai. Pengurusan sungai merupakan usaha memelihara dan memulihara sungai supaya kualitinya tidak terus merosot. Dalam kata lain, pengurusan sungai menyediakan cara bagaimana mengawal dan memandu hubungan manusia dengan komponen alam sekitar ini agar kualiti sungai tersebut dan kepentingan organisma hidup khususnya manusia sentiasa terpelihara. Objektif utama pengurusan sungai ialah untuk memelihara sungai sedia ada untuk kegunaan semasa dan masa hadapan, meminimumkan impak terhadap sungai kesan daripada pelbagai aktiviti pembangunan selain meningkatkan kualiti sungai dan hidupan keseluruhannya.
Agensi yang dianggap bertanggung jawab dalam hal ehwal pengurusan sungai ialah Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Alam Sekitar.

Kesimpulanya, pengurusan sungai menumpukan kepada pelbagai aspek pemeliharaan dan pemuliharaan sungai yang melibatkan kaedah perundangan dan kaedah bukan perundangan. Kaedah perundangan melibatkan penggunaan polisi dan perundangan dalam pengurusan sungai antaranya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976. Kaedah bukan perundangan pula antara lain membabitkan penglibatan orang ramai dalam projek pemeliharaan sungai, penglibatan Organisasi Bukan Kerajaan dan media massa dalam menimbulkan kesedaran orang ramai mengenai peri pentingnya penjagaan sungai serta peranan institusi pendidikan melalui pendidikan secara formal mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Nor Fazana Che Ya (119242)

pencemaran laut

PENCEMARAN LAUT
Air adalah komponen penting dalam kehidupan manusia. Air sumber penting dalam kehidupan untuk minuman, system kebersihan, pertaniaan, industry, pembangunan Bandar, kuasa hidro, perikanan, pengangkutan, dan kegiatan lain. Pengurusan air secara tidak cekap boleh menyebabkan wujudnya krisis air. Air mewakili 70 peratus daripada isi bumi dan tidak dinafikan bahawa ia adalah antara bahan semulajadi yang paling penting di dunia. Air mengandungi hidrogen dan oksigen dan ia amat penting dalam isi planet ini. Namun kini pencemaran air semakin menjadi-jadi di Malaysia, pelbagai kaedah digunakan untuk membendung gejala ini. Antara pencemaran air yang berlaku adalah pencemaran laut. Pencemaran mengikut definisi bermaksud adalah untuk merosakkan atau tidak bersih atau kotor. Pencemaran air berlaku berlaku apabila sumber air dicemari berikutan sejumlah besar bahan tertentu bercampur dalam air. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengatakan bahawa pencemaran adalah suatu perbuatan yang mengotorkan.
Antara punca pencemaran air ialah pembuangan air kumbahan, sisa-sisa kimia, haba, pembuangan sampah dan sebagainya. Pencemaran laut boleh meninggalkan pelbagai kesan terhadap bumi. Antara kesan pencemaran ialah mengancam kesihatan manusia. Akibat daripada pencemaran alam sekitar, kesihatan manusia turut terjejas. Apabila laut dicemari oleh sisa-sia kimia di dalam air boleh mengakibat pelbagai penyakit seperti kelumpuhan, penglihatan dan sabagainya.
Selain itu pencemaran laut juga memberi kesan terhadap hidupan akuatik. Pencemaran memberi kesan kepada spesies yang menggunakan alam sebagai habitat. Hidupan liar akuatik adalah antara mangsa pencemaran air. Sejenis pencemaran yang membrikan kesan kepada air ialah bentuk fizikal, seperti, seperti peningkatan suhu. Oleh kerana air di alirkan daripada kilang industri, hampir 15 hingga 25 miligram air yang dipanaskan dialirkan ke dalam system penyejuk air. Pencemaran air juga turut member kesan terhadap tumbuhan biomass. Dengan peningkatan pencemaran kimia seperti nitrat dan fostat, ia boleh menyebabkan kerosakan rumpai dalam sistem air, sekali gus mengubah habitat tumbuhan akuatik.
Berbanding pencemaran darat yang boleh dilihat dengan jelas dan lebih mudah diuruskan, pencemaran di laut tidak dapat disempadankan. Kesan buruknya akan dan sedang berlaku secara global dengan pesat namun tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Malangnya kebutaan ini menyebabkan manusia kian angkuh dengan pelbagai aktiviti yang terus-menerus memusnahkan laut. Sampah plastic, sisa industri dan minyak dikenalpasti sebagai angkara utama manusia yang mengganggu dan seterusnya membunuh habitat dan kehidupan marin. Komponen beracun pencemar ini mampu membantutkan kebolehan hidupan marin untuk membiak dan membesar.
Selain itu jenis pencemaran air adalah seperti bahan toksik, bahan organik, pencemaran Terma dan pencemaran Ekologi. Bahan toksik adalah sejenis pencemaran berbentuk kimia yang tidak terhasil dalam system akuatik. Penyumbang terbesar kepada pencemaran kimia ialah racun rumpai, racun serangga dan bahan buangan. Kedua ialah pencemaran daripada bahan organik. Pencemaran organik berlaku apabila lebihan bahan organik seperti baja dan kumbahan memasuki air. Apabila bahan organik ini meningkat di dalam tangki air, jumlah bahan hancur akan meningkat. Bahan hancur atau bahan reput ini akan tumbuh pantas dan menggunakan banyak oksigen apabila ia membesar. Ini mengakibatkan pengurangan oksigen apabila proses kehancuran berlaku. Kekurangan oksigen akan membunuh organisma akuatik. Apabila organism akuatik itu mati, ia akan sama musnah dengan bahan hafncur berkenaan, sekaligus meningkatkan pengurangan oksigen berkenaan.
Sejenis pencemaran organik boleh berlaku apabila pencemaran bahan bukan organik seperti nitrogen dan fostat meningkat dalam system akuatik. Kadar tinggi bahan berkenaan menyebabkan peningkatan keterlaluan tumbuhan dan rumpai air. Apabila tumbuhan dan rumpai iar itu mati, ia menjadi bahan organik di dalam air. Bahan tumpahan berkenaan akan reput dengan pantas sekali gus mengurangkan kadar oksigen. Proses pantas pertumbuhan itu kemudian diikuti dengan peningkatan aktiviti oleh bahan hancur berkenaan dan dengan kekurangan kadar oksigen yang dikenali sebagai eutrophication.
Manakala pencemaran terma adalah pencemaran yang boleh berlaku apabila air yang digunakan sebagai bahan penyejuk berdekatan kilang industri dan kemudian kembali kepada persekitaran akuatik dengan kadar suhu yang lebih tinggi. Pencemaran terma boleh menyebabkan berlakunya pengurangan kadar oksigen di dalam air dan meningkatkan kadar keperluan biological oleh organisme akuatik untuk oksigen.
Seterusnya ialah pencemaran ekologikal ini berlaku apabila pencemaran bahan kimia, pencemaran organik atau pencemaran terma berlaku daripada persekitaran alam, bukannya akitiviti kemanusiaan. Sebagai contoh, pencemaran ekologikal akan meningkat daripada bahan aliran selepas berlakunya tanah runtuh, yang juga akan meningkatkan jumlah kotoran dalam air. Contoh lain ialah apabila haiwan seperti rusa mati lemas dalam banjir dan kemudian sejumlah besar bahan organik yang mengalir ke dalam air. Kejadian geological sperti ledakan gunung berapi juga boleh menjadi sumber kepada pencemaran ekologikal.
Peningkatan drastic pencemaran laut berasaskan plastik sejak tahun 1940-an kini merupakan isu yang begitu meruncing. Setiap tahun puluhaan ribu hidupan marin terkorban atau cacat akibat plastic. Malah ada kajian mendapati sekurang-kurangnya 30, 000 hidupan mati terperangkap atau tercekik. Bagi kehidupan marin plastik kelihatan seperti makanan yang akhirnya membunuh hidupoan itu akibat keracunan. Hakikat bahawa toksik sukar untuk diuraikan ekoran jangka hayat yang panjang selain melalui jaringan makanan menyebabkan toksik ini terkumpul dan meracuni marin terutama haiwan bercengkerang.
Dalam menangani isu pencemaran air, pelbagai pihak perlu menyedari bahawa tanggungjawap masing-masing termasuk kerajaan, pengusaha kilang, industri dan masyarakat bekerjasama untuk meminimumkan pencemaran alam sekitar. Pendekatan secara bersepadu dengan memahami, membina dan menguruskan strategi pengawalan pencemaran adalah amat penting untuk memastikan kejayaannya. Arus ke arah pembangunan menjadikan Malaysia sebagai saebuah Negara maju telah mencetuskan pelbagai situasi. Pembangunan pesat sektor ekonomi dan perindustrian serta kestabilan politik dan sosial telah memberikan taraf hidup yang selesa kepada rakyat dan menaikkan imej Negara di kaca mata dunia. Namun begitu, disebalik keselesaan dan pembangunan tersebut timbulnya beberapa masalah sampingan yang boleh memudaratkan kehidupan masyarakat.
Malaysia dikelilingi oleh laut dan terdedah kepada risiko tumpuhan minyak yang besar. Kini laut semakin terancam oleh aktiviti manusia yang ghairah mengejar kebendaan tanpa menghiraukan implikasi kepada alam sekitar. Pencemaran di Asia Tenggara adalah berpunca daripada pelbagai faktor. Kepelbagaian faktor ini menyebabkan kualiti air laut tercemar dengan begitu teruk tanpa ada satu vaksin yang mujarap untuk memulihkannya. Lebih 90 peratus daripada punca pencemaran laut adalah disebabkan oleh aktiviti manusia dan baki 10 peratus berpunca daripada sector perkapalan.
Kesimpulannya, bumi adalah satu-satunya planet yang membolehkan kita dan hidupan kita dan hidupan lainnya hiduo bebas. Bukankah alasan ini sudah cukup untuk kita membelainya dengan perasaan penuh timbang rasa dan kasih sayang. Secara globalnya masalah pencemaran laut merupakan di antara agenda terpenting yang harus dihadapi oleh negaqra-negara berpantai. Walau pelbagai masalah yang timbul dalam penguatkuasaan pencemaran disektor marin, namun ia tetap dijalankan oleh agensi maritime yang dipertanggungjawapkan dalam menangani masalah ini. Kerjasama ini bukan hanya terletak pada agensi-agensi yang terbabit tetapi orang-prang awam juga boleh bekerjasama dengan melaporkan segera sebarang kejadian pencemaran laut yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawap. Kerjasama yang padu di antara agensi-agensi maritim dengan pihak-pihak swasta bagi menaja operasi pembersihan anasir pencemaran di laut amatlah dialu-alukan. Masalah pencemaran laut tidak akan dapat diselesaikan sekiranya tiada kesedaran dalam diri manusia sendiri tentang pentingnya alam sekitar kepada manusia. Selain daripada itu, undang-undang yang tertakluk juga harus dikuatkuasakan bagi menjamin masalah yang sama tidak akan berulang lagi.