Friday, January 22, 2010

Pencemaran sungai

PENCEMARAN SUNGAI
Kesempurnaan itu sesuatu yang sangat indah pada pandangan mata kasar. Kita sering mengharapkan agar semua pekara menjadi sempurna dan sedap mata memandang, tenang jiwa yang merasai, dan mendamaikan serta boleh menyejukkan jiwa dan hati yang sedang bergelora seumpama seakan senaskah Al-Quran yang sedang ditadarus atapun taranum oleh Qari yang masyur. Baitnya pasti bisa merentap sanubari orang yang mendengar dan pengalunnya tentu merasa tenang disisi kalamullah itu. Begitu jugalah dengan sungai yang merupakan nadi buat masyarakat lampau dalam menjalankan kegiatan seharian seperti memasak, sumber minuman, kegiatan pertanian, membasuh dan mencuci. Pendek kata masyarakat dahulu amat menghargai sungai bagi pelbagai tujuan kehidupan. Tetapi pada waktu sekarang fungsi sungai tidak lagi dihargai oleh masyarakat modensasi. Pencemaran yang berlaku sekarang telah menjejaskan ekosistem dan habitat yang menghuni dimuka bumi. Pencemaran sungai yang berlaku di negara ini adalah disebabkan oleh sikap manusia yang tidak tahu menghargai kurniaan ilahi terhadap mereka.

Dengan perkembangan pembangunan yang pesat di negara ini telah mengundang perubahan kepada alam sekeliling. Pencemaran ini telah menyebabkan sebahagian daripada kecantikan yang pada sungai hilang dan tidak kelihatan lagi. Kita tidak dapat lagi menyaksikan kejernihan dan ketenangan air yang mengalir tetapi akan berhadapan dengan sungai yang sudah berubah wajah. Sungai kini berbau busuk dan hanyir dipenuhi sampah sarap. Tiada lagi anak-anak ikan yang berkejaran dan melompat di muara menyambar umpan. Semua itu hanya sebuah imagnasi yang lampau di minda pada masa dahulu. Pencemaran sungai yang berlaku hari ini ialah disebabkan oleh sikap manusia yang suka membuang ke dalam sungai.

Fungsi sungai yang pelbagai dalam kehidupan manusia telah menjadikan sungai sebagai aset yang sangat penting. Fungsi sungai yang paling utama kepada manusia adalah sebagai sumber bekalan air sama ada untuk kegunaan domestik atau komersil. Kegunaan domestik utama sungai adalah sebagai bekalan air bersih untuk minuman, membasuh pakaian dan mandian. Fungsi komersil sungai adalah seperti kegunaan dalam industri, pertanian dan akuakultur.

Sungai juga digunakan untuk tujuan rekreasi seperti berenang, bersampan dan berkayak dan memancing. Persekitaran sungai pula digunakan untuk rekreasi pasif seperti berehat dan mendapatkan ketenangan serta menghayati persekitaran sungai. Sungai juga digunakan sebagai medium pengangkutan, mendapatkan sumber protein seperti ikan serta kegiatan komersial menangkap ikan dan menjual pasir sungai.

Pencemaran sungai merupakan satu isu yang amat mendesak dan memerlukan usaha holistik daripada pelbagai pihak ke arah penyelesaiannya. Kualiti air sungai-sungai di Malaysia semakin terancam dengan pencemaran. Punca pencemaran sungai atau secara khususnya air terbahagi kepada dua iaitu punca dikenalpasti dan punca kurang pasti. Punca dikenalpasti merujuk kepada sumber yang boleh ditentukan puncanya dan dikenalpasti lokasinya iaitu dengan mengesan dari mana bahan pencemar berpunca misalnya sisa dari kilang dan sisa haiwan dari kandang ternakan. Punca kurang pasti merupakan punca pencemaran yang tidak jelas dan tidak boleh ditentukan puncanya secara tepat seperti pencemaran dari kawasan bandar, kawasan pertanian dan kawasan pembalakan. Di Malaysia, terdapat dua punca utama bahan pencemar sungai, iaitu, aktiviti pembangunan tanah serta sumber asli dan pembuangan sisa-sisa ke dalam air.
Aktiviti pembangunan tanah dan sumber asli melibatkan pembukaan kawasan penempatan dan pertanian baru, pembalakan, pembinaan infrastruktur fizikal seperti jalan raya, pembangunan bandar dan pembinaan projek-projek fizikal seperti perumahan dan perindustrian. Semua aktiviti ini menimbulkan masalah hakisan tanah yang mencemar air sungai dari segi kandungan bahan terampai, warna, kekeruhan, bahan organik dan masalah pemendapan sungai.

Aktiviti pertanian juga merupakan antara punca utama pencemaran sungai terutama jika dijalankan di kawasan tanah tinggi. Air hujan yang mengalir dari kawasan pertanian mengakibatkan hakisan dan meningkatkan kandungan zarah terampai dalam air sungai. Selain itu bahan kimia yang terdapat dalam racun rumpai, racun serangga, racun herba serta baja kimia turut mencemar air sungai.

Aktiviti perlombongan juga merupakan punca pencemaran air sungai kerana air dari kawasan perlombongan mengandungi kandungan zarah terampai dan bahan logam yang ada kaitan dengan mineral yang dilombong yang membahayakan kesihatan pengguna. Buangan sisa kotoran daripada kawasan perindustrian, perbandaran, perumahan, perniagaan dan kilang turut mencemarkan air sungai. Masalah pencemaran sungai telah mendatangkan kesan yang besar terhadap kehidupan manusia, terutamanya apabila sumber air yang dibekalkan kepada pengguna sukar dirawat. Pencemaran sungai juga menimbulkan masalah lain kepada manusia seperti merebaknya penyakit, musnahnya ekosistem akuatik dan terganggunya keselesaan umum. Sebagai contoh, oleh kerana kebanyakan sungai di Lembah Klang dikategorikan sebagai tercemar teruk dan cetek akibat dilimpahi oleh sampah sarap dan kelodak, maka kejadian banjir kilat kerapkali melanda terutamanya di sekitar Kuala Lumpur.

Isu pengurusan sungai menjadi sangat penting sejak kebelakangan ini akibat meruncingnya masalah pencemaran sungai. Pengurusan sungai merupakan usaha memelihara dan memulihara sungai supaya kualitinya tidak terus merosot. Dalam kata lain, pengurusan sungai menyediakan cara bagaimana mengawal dan memandu hubungan manusia dengan komponen alam sekitar ini agar kualiti sungai tersebut dan kepentingan organisma hidup khususnya manusia sentiasa terpelihara. Objektif utama pengurusan sungai ialah untuk memelihara sungai sedia ada untuk kegunaan semasa dan masa hadapan, meminimumkan impak terhadap sungai kesan daripada pelbagai aktiviti pembangunan selain meningkatkan kualiti sungai dan hidupan keseluruhannya.
Agensi yang dianggap bertanggung jawab dalam hal ehwal pengurusan sungai ialah Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Alam Sekitar.

Kesimpulanya, pengurusan sungai menumpukan kepada pelbagai aspek pemeliharaan dan pemuliharaan sungai yang melibatkan kaedah perundangan dan kaedah bukan perundangan. Kaedah perundangan melibatkan penggunaan polisi dan perundangan dalam pengurusan sungai antaranya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976. Kaedah bukan perundangan pula antara lain membabitkan penglibatan orang ramai dalam projek pemeliharaan sungai, penglibatan Organisasi Bukan Kerajaan dan media massa dalam menimbulkan kesedaran orang ramai mengenai peri pentingnya penjagaan sungai serta peranan institusi pendidikan melalui pendidikan secara formal mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Nor Fazana Che Ya (119242)

No comments:

Post a Comment